[Ilmuan Islam - Mengubah Atau Diubah]
Ramai ilmuan agama yang saya sangat sangat sanjungi suatu masa dahulu ketika saat awal keIslaman saya. Saya menyanjungi ilmu, kepetahan mereka bertutur di atas pentas, TV, Radio dan saya sering membaca artikel mereka di akhbar. Mereka ikon saya.
Apabila mereka dilantik menjadi senator atau masuk parti politik, saya merasa gembira kerana mungkin mampu mengubah dari dalam. Mereka juga mengatakan sedemikian apabila diwawancara oleh media kenapa mereka masuk parti politik. Lama-kelamaan memang ada perubahan tetapi perubahan itu ada pada ilmuan agama dan bukan pada parti politik yang mereka sertai.
Dulu Ustazah tak pernah pakai mekap tebal ketika ceramah atau muncul di kaca tv tetapi kini berhias sakan dan 'make up' tebal seinci mengalahkan artis. Dulu Ustaz tegur ahli politik terbuka kerana amar makruf nahi mungkar tapi kini Ustaz kata kena tegur senyap-senyap tetapi Ustaz tegur secara terbuka ahli politik lawan. Dulu ada imam baca khutbah di masjid tapi kini ustaz yang pembaca doa di majlis pemimpin sahaja.
Memang tercapai objektif mereka menyertai parti politik iaitu untuk melakukan perubahan. Parti politik berjaya mengubah mereka. Hasrat untuk mengubah sudah menjadikan mereka diubah pula. Sepatutnya pemimpin politik mendatangi ilmuan agama. Sepatutnya Islam memimpin politik tetapi sayang seribu kali sayang kita fatwa sudah berubah menjadi politik memimpin Islam...
Ini cuma luahan rasa hati seorang muallaf yang sayangkan Ustaz & Ustazah kita... Tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik... Buang yang keruh ambil yang jernih...